14 November 2012

Harussani: Nurul Izzah wajib bertaubat, tarik balik kenyataan



Harussani Zakaria


$entry.content.caption.value
IPOH - Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria menasihatkan supaya Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar bertaubat serta memohon keampunan daripada Allah SWT serta menarik kembali kenyataannya berhubung kebebasan beragama pada sebuah forum di Subang Jaya baru-baru ini.
   
Beliau juga mengulangi nasihat itu untuk seluruh pengikut pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) terbabit yang menyokong serta bersetuju dengan kenyataan yang dikeluarkan itu kerana ia adalah berdosa besar.
   
"Dia (Nurul Izzah) terlampau mudah buat kenyataan seperti itu. Dia perlu bertaubat, bertaubatlah dan tarik balik kenyataan dalam ucapannya itu. Minta maaflah kepada semua. Manusia ini tidak lari daripada melakukan kesilapan, kita mudah melakukan kesilapan," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
   
Katanya pengikut pemimpin pembangkang itu juga bersubahat dalam tindakan atau perbuatan yang tidak dibenarkan oleh agama Islam dan berdosa besar.
   
"Orang ini (pengikut) ini bersubahat dan berdosa besar, mereka wajib bertaubat...perlu menggunakan akal yang waras. Jangan permain-mainkan agama," katanya.


Katanya kenyataan seperti yang diungkapkan oleh Nurul Izzah itu akan memudahkan perbuatan atau tindakan yang dilarang oleh agama Islam.
   
Beliau berkata sekiranya Nurul Izzah tahu, sedar dan faham yang diucapkannya maka akidah pemimpin parti pembangkang itu telah rosak dan telah keluar daripada pegangan akidah sebagai seorang Islam.
   
"Islam terima kewarasan akal, jika dia tahu, sedar, faham serta ada pengetahuan dan keyakinan (tentang apa yang diucapkannya) maka dia wajib bertaubat," katanya.
   
Laporan portal berita propembangkang pada 3 Nov lepas memetik Nurul Izzah sebagai berkata: "Rakyat tidak seharusnya dipaksa menganut agama tertentu dan perkara ini juga patut terpakai kepada orang Melayu.
   
"Apabila anda bertanya saya, tiada paksaan dalam beragama...bagaimana seseorang itu boleh berkata, maaflah, ini (kebebasan beragama) hanya terpakai kepada orang bukan Melayu, ia sepatutnya diguna pakai secara sama rata," kata Nurul Izzah.
   
Beliau berkata demikian pada forum bertajuk "Negara Islam: Versi Mana; Tanggungjawab Siapa?" di Subang Jaya, Selangor pada 3 Nov. - Bernama

Cuepacs mahu semua jenis elaun, insentif penjawat awam dikaji semula




logo cuepacs
Cuepacs
KOTA KINABALU - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mahu semua jenis elaun dan insentif penjawat awam di seluruh negara termasuk imbuhan tetap perumahan dan bayaran insentif wilayah untuk Sabah dan Sarawak dikaji semula.
  
Presidennya Datuk Omar Osman berkata perkara itu perlu memandangkan harga rumah dan kos sara hidup rakyat di negara ini semakin meningkat.
  
"Di mana-mana negeri, elaun tidak boleh dibeza-bezakan seperti dahulu sebab sekarang ini harga rumah dan kos sara hidup terlalu tinggi.
  
"Sebab itu Cuepacs menyuarakan supaya semua jenis elaun, insentif dan imbuhan tetap perumahan perlu dikaji semula bersama dengan kajian suruhanjaya transformasi perkhidmatan awam," katanya pada sidang akhbar di Kompleks Bersepadu Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, di sini hari ini.
  
Omar berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan pelbagai pihak agar elaun perumahan penjawat awam dari Sabah dan Sarawak yang bertugas di semenanjung atau sebaliknya diseragamkan.

Beliau berkata pihaknya telah menyuarakan perkara itu kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan berharap JPA mengambil tindakan yang sewajarnya.
  
"Misalnya kalau elaun perumahan di Sememanjung RM800, sini (Sabah/Sarawak) pun RM800, pasal rumah ini tiada (harga rumah) Sabah murah, Sarawak mahal dan sememanjung murah.
  
"Kita bimbang bila pekerja baru masuk, kalau gaji masih kecil, masalahnya mereka mahu tinggal di mana? Sewa mahal, beli rumah pun tidak mampu," katanya.
  
Beliau berkata keadaan itu akan menjejaskan produktiviti, tanggungjawab sosial dan keluarga kepada penjawat awam terutama yang baru bekerja.
  
Sementara itu, Omar berkata Cuepacs belum bersetuju mengenai cadangan Kementerian Kewangan untuk menjalin kerjasama dengan bank bagi menguruskan skim pinjaman perumahan penjawat awam. - Bernama
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...