10 July 2014

Mangsa pertama mercun

Kota Bharu: Kelantan merekodkan mangsa pertama mercun selepas lapan hari umat Islam berpuasa apabila seorang remaja berusia 14 tahun putus tiga jari akibat bermain mercun botol dalam kejadian di Kampung Gual Periok, Rantau Panjang, Jumaat lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, Mohd Idham Syafiq Mohd Tahir yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gual Periok dikejarkan ke Hospital Pasir Mas (HPM) sebelum dirujuk ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).
nak ketiga daripada lima beradik yang juga anak yatim itu kini ditempatkan di Wad Chempaka di hospital berkenaan.

Menurut Mohd Idham Syafiq, kejadian berlaku pantas apabila mercun yang dipegangnya tiba-tiba meletup ketika dinyalakan.
Foto
MAZLAN (kanan) melawat mangsa.

“Sebelum bermain mercun, saya dan rakan ke lokasi terletak kira-kira satu kilometer (km) dari rumah di Kampung Luar Gual Periok kerana bimbang dimarahi datuk.

“Ketika menyalakan mercun pertama, tiba-tiba ia meletup. Saya kemudian melihat tangan sudah dipenuhi darah sebelum rakan membawa ke Hospital Pasir Mas (HPM) dengan menunggang motosikal,” katanya.

Manakala, datuknya Mohd Rashid Ibrahim, 59, mengakui terkejut apabila tiba-tiba dimaklumkan cucunya itu berada di hospital.

“Saya tiada di rumah ketika kejadian dan hanya diberitahu cucu dimasukkan ke hospital. Setiap kali musim raya, saya selalu mengingatkan dia supaya tidak bermain mercun, tetapi tidak sangka kejadian buruk ini menimpa cucu sendiri,” katanya.

Terdahulu, Mohd Idham Syafiq menerima lawatan dan menerima sumbangan daripada Ketua Polis Kelantan Datuk Mazlan Lazim kira-kira jam 11.30 pagi.

Sementara itu, Mazlan berkata, polis menasihatkan orang ramai supaya sentiasa menjaga keselamatan diri dan mengelak daripada bermain mercun terutama kanak-kanak dan remaja.

Katanya, mercun terbabit bukan saja mendatangkan kecederaan parah, tetapi juga boleh menyebabkan kematian.
mymetro

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...