05 August 2013

loket radioaktif bahaya

RAMAI yang mendakwa loket radioaktif yang diambil dari kawasan gunung berapi mempunyai banyak kelebihan.

Bagaimanapun kajian menunjukkan penggunaan loket yang mengandungi bahan radioaktif semulajadi tidak memberi sebarang faedah dari segi perubatan sebaliknya boleh memudaratkan pengguna.

Lembaga Pelesenan Tenaga Atom (LPTA) menegaskan produk berkenaan boleh memudaratkan pengguna jika terdedah kepada dos sinaran yang berlebihan.
Setiausaha Eksekutif LPTA, Raja Datuk Abdul Aziz Raja Adnan berkata, Kementerian Kesihatan mengesahkan penggunaan produk ini tidak memberi sebarang faedah perubatan.

Berikutan itu, beliau mengingatkan pengeluar, pengedar, penjual, pengimport dan semua pihak yang berurusan dengan loket berkenaan memastikan sisipan peringatan keselamatan dikepilkan bersama produk yang dijual kepada orang awam.

Umum harus dimaklumkan bahawa produk berkenaan mengandungi bahan radioaktif semulajadi dan pengedar bertanggungjawab memaklumkan kepada pengguna mengenai dos sinaran maksimum pada permukaan produk serta cara pemakaian yang selamat.

Malah menurut Raja Abdul Aziz, tempoh maksimum pemakaian harian juga perlu dipastikan supaya had dos tahunan bagi orang awam tidak melampaui 1 mSv/tahun, selain pengedar memberi nasihat mengenai tatacara pelupusan yang selamat.

“Wanita hamil, ibu menyusu dan kanak-kanak yang menggunakannya perlu merujuk kepada pengamal perubatan.

“Kementerian menegaskan kumpulan ini paling terjejas jika terdedah kepada dos sinaran berlebihan," katanya dalam satu kenyataan.

Peringatan keselamatan itu bertujuan memberi panduan kepada orang awam rentetan daripada keraguan yang timbul berhubung aspek keselamatan dan kesihatan loket radioaktif ini.

Abdul Aziz berkata, peringatan keselamatan turut terpakai kepada produk lain yang mengandungi bahan radioaktif semulajadi yang nyata.

Isu loket mengandungi bahan radioaktif semulajadi timbul September tahun lalu, apabila Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Kementerian Kesihatan mengharamkan produk berkenaan.

Ia berikutan kajian LPTA pada awal 2011 mendapati kepekatan bahan radioaktif thorium-232 dan uranium-238 pada loket berkenaan melebihi paras dibenarkan.




No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...