15 August 2013

Pas gagal kekang jenayah di Kelantan

KOTA BHARU - Dasar 'Membangun Bersama Islam' yang diperjuangkan Pas Kelantan sejak memerintah negeri ini pada 1990, dilihat tidak berkesan untuk mendidik masyarakat membendung kejadian jenayah.
   
Bekas Timbalan Menteri Besar II Kelantan Datuk Mohd Rozali Isohak menyifatkan Pas Kelantan gagal membentuk sahsiah penduduk mengikut nilai-nilai Islam selepas dasar itu secara jelas tidak dapat dihayati mereka.
   
"Kalau betul mereka kata nak terapkan Islam dalam pentadbiran, perkara-perkara seperti jenayah ini tak seharusnya berlaku," katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya di sini, hari ini.
   
Beliau diminta mengulas peningkatan kejadian jenayah di negeri ini termasuk yang terbaru seorang kerani sekolah terbunuh terkena letupan di Tumpat Ahad lepas.
   
Dalam kejadian pukul 11 pagi itu, Mohd Yusrizal Mat Zain, 32, kerani Sekolah Rendah Kebangsaan Manek Urai, Kuala Krai, maut terkena letupan ketika mengambil bungkusan ditinggalkan di atas bumbung sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di halaman rumah mertuanya di Taman Seri Periuk, Kampung Periuk, Tumpat.

Mohd Rozali yang juga Pengerusi Veteran Umno Kelantan berkata sudah tiba masanya bagi pemimpin Pas Kelantan untuk mengurangkan bermain politik di pentas ceramah sebaliknya menumpukan kepada pentadbiran yang lebih berkesan.
   
"Sepatutnya bila tiada unsur-unsur hiburan (kelab malam dan konsert), jenayah seperti dadah, anak luar nikah akan berkurangan, namun perkara sebaliknya berlaku.
   
"Kerajaan negeri perlu kaji balik dasar mereka dan perlu beri lebih perhatian kepada jenayah yang semakin meningkat sejak kebelakangan ini," katanya.
   
Sehubungan itu, Mohd Rozali berkata kerajaan negeri juga perlu membuka 'pintu' kerjasama yang lebih luas dengan kerajaan persekutuan dalam mengatasi jenayah.
   
"Kerajaan Kelantan kena ubah suai dasar mereka sikit, jangan hanya cari salah orang lain sahaja. Masing-masing ada peranan dan kedua-dua pihak perlu bekerjasama untuk mengurangkan jenayah," katanya. - Bernama

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...