24 November 2013

Muktamar PAS: PAS tak penuhi hasrat pengundi Melayu

Apa dah jadi, kini terbukti apabila PAS tidak memenuhi hasrat pengundi Melayu. Hanya 2 dari enam ciri diperlukan pengundi Melayu berbanding dengan UMNO.

Shah Alam: Kajian badan profesional mendedahkan PAS hanya memenuhi dua daripada enam ciri diperlukan pengundi Melayu, berbanding UMNO yang memenuhi hampir semua ciri-ciri berkenaan. 

Kajian itu mendapati masyarakat Melayu mahukan parti yang boleh menjamin hak mereka, memperjuangkan Raja-Raja Melayu, mempertahankan agama, berintegriti, prihatin terhadap masyarakat dan memiliki tokoh berwibawa untuk memimpin orang Melayu. 


Ketua Dewan Pemuda PAS Kedah, Mohamad Nasir Zakaria, berkata kajian itu turut merumuskan PAS hanya dilihat sebagai parti berintegriti dan membela Islam. 

“UMNO memiliki lima ciri yang berupaya menyaingi PAS dalam mempengaruhi pemikiran masyarakat dan pengundi Melayu. 

“PAS tidak dilihat sebagai parti yang membela Raja-Raja Melayu, tidak dilihat prihatin kepada rakyat, tidak dilihat menjadi tokoh dalam kalangan masyarakat setempat dan tidak mesra rakyat. 

Bangkit masalah dalaman 

“Justeru, bagaimana kita nak letakkan PAS sebagai parti memperjuangkan Melayu dan masyarakat,” katanya ketika membahaskan ucapan dasar presiden, semalam. 
Mohamad Nasir yang juga bekas Ahli Parlimen Padang Terap, berkata PAS Kedah mencadangkan penerangan bersifat bersua muka dengan pengundi untuk menerangkan dasar parti. 

Beliau turut membangkitkan masalah dalaman antara faktor tumbangnya kerajaan PAS di Kedah pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13). 

“Masalah dalaman umpama barah itu mampu menumbangkan kawasan dan negeri yang kini dikuasai pemimpin pakatan pembangkang,” katanya. 

Sementara itu, perwakilan Terengganu, Hishammudin Abd Karim, berkata segelintir kepemimpinan PAS disifatkan sebagai ‘Mr Arrogant’ atau bersikap angkuh hingga menjadi punca konflik dalaman parti. 

Katanya, pertikaian sesama kalangan PAS bukan berpunca daripada pertembungan kumpulan Erdogan dan ulama seperti yang digembar-gemburkan. 

“Saya melihatnya lahir daripada perkara baru iaitu Mr Arrogant. 

“Mr Arrogant ini menguasai diri sebilangan pemimpin hingga berasa diri mereka terbaik dan hebat sehingga memandang sinis kepercayaan yang diberi perwakilan,” katanya ketika membahaskan ucapan dasar Presiden.


Berita Harian Online

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...