08 July 2014

FELDA Dapat Durian Runtuh

Sape kata FGV tak untung? Tak untuk manakan dapat bagi Bonus?


Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan pembayaran dividen akhir Felda Global Ventures Berhad (FGV) berjumlah RM72.9 juta kepada 112,635 peneroka Felda di seluruh negara.


Perdana Menteri berkata, pembayaran dividen itu membolehkan setiap peneroka menerima imbuhan RM647.78 seorang membabitkan jumlah 10 sen sesaham yang akan dibayar menerusi Tabung Amanah bermula 11 Julai ini.

Pada masa sama, beliau turut mengumumkan pemberian duit raya berjumlah RM30.5 juta kepada kesemua warga peneroka dengan setiap seorang menerima RM300 yang difahamkan mula dibayar minggu depan.
"Daripada hasil pembayaran dividen RM647.78 dan pemberian duit raya RM300 seorang, setiap seorang peneroka akan mendapat RM947.78," katanya.
Beliau menyatakan perkara itu ketika berucap dalam Majlis Berbuka Puasa Negeri Terengganu dan Rahmat Ramadan Felda Kebangsaan 2014 bersama Perdana Menteri di Kompleks Felda Wilayah Terengganu, dekat sini hari ini.

Yang hadir sama isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Besar, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman dan isteri, Toh Puan Halina Zakaria; Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh; Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad; Penasihat Felda, Tan Sri Dr. Mohd. Yusof Noor dan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Mohd. Zubir Embong.
Pada majlis itu, Perdana Menteri turut merasmikan Kompleks Felda Wilayah Terengganu bernilai kira-kira RM30 juta yang mula beroperasi pada 2008 di tapak seluas 4.25 hektar di mukim Kuala Nerus.

Dalam ucapannya, beliau turut mengumumkan penyerahan zakat perniagaan bagi pihak Kumpulan Felda berjumlah RM22.02 juta kepada 14 pusat zakat di seluruh negara.
Beliau berkata, Kumpulan Felda turut memberikan sumbangan amal dan sagu hati kepada masjid di kawasan Felda melibatkan peruntukan RM927,500 yang diagihkan kepada pengerusi masjid, imam, bilal dan siak.

Najib berkata, insentif daripada dividen dan pemberian duit raya itu membuktikan ketelusan kerajaan untuk memastikan rakyat didahulukan sekali gus menepis tohmahan pembangkang kononnya Felda mengalami kerugian dan muflis.

"Ini bukti paling jelas kepada orang yang gemar melempar dakyah kepada Felda, kita tidak gusar kalau ada orang kata kita tak buat kerja kerana kita buat kerja macam biasa.
"Bila sampai waktu beri dividen kita beri, bila tiba waktu bagi duit raya, kita beri kepada semua peneroka. Kita tidak boleh tutup kebenaran dan inilah bukti kejayaan bagi menepis dakwaan tak masuk akal (kononnya) Felda bankrap," katanya.

Dalam pada itu, Najib berkata, kerajaan memberi jaminan untuk memastikan para peneroka yang memberi kerjasama tidak berbelah bahagi untuk membangunkan Felda akan terus mendapat ganjaran.

Sempena majlis itu, Perdana Menteri turut menyampaikan insentif berjumlah RM200,000 kepada penjelajah Kelab Ekspedisi Tujuh Benua (KE7B) Felda Greenland yang berjaya menamatkan misi mereka membabitkan jarak perjalanan sejauh 540 kilometer, baru-baru ini.




© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...