20 March 2013

Internet Percuma Untuk Rakyat Miskin


Internet Percuma Untuk Rakyat Miskin.
Berikut berita daripada UM

KUALA LUMPUR 19 Mac - Lebih lima juta penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) termasuk golongan miskin di luar bandar dan bandar layak untuk menikmati perkhidmatan Internet percuma seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, perkhidmatan percuma itu adalah untuk tempoh penggunaan 30 minit pertama dan bakal melibatkan semua syarikat telekomunikasi.
"Kita akan menyusun rangka pelaksanaan dengan syarikat-syarikat telekomunikasi, khasnya Telekom Malaysia Bhd. (TM) supaya dapat dilaksanakan segera. Saya dimaklumkan masa terbaik untuk pelaksanaan adalah April ini.
"Ia akan melibatkan semua yang berhak menerima BR1M. Ini (Internet percuma) kita beri setiap hari atau mengikut sifir kod-kod penggunaan. Kita akan timbang secara praktikal," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengiringi lawatan kerja dan sesi ramah mesra Perdana Menteri bersama warga TM di Menara TM, di sini hari ini.
Dalam lawatan kerja itu, Najib mengumumkan pemberian perkhidmatan Internet secara percuma kepada warga miskin di bandar dan luar bandar bagi penggunaan untuk tempoh 30 minit pertama.
Rais berkata, kementeriannya akan mengadakan mesyuarat pada minggu depan untuk penyelarasan perkhidmatan Internet percuma berkenaan.
"Pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah memberi petanda gerak program itu. Dan, Kampung Kerinchi akan dapat kita lancarkan Internet percuma untuk rakyat ini.
"Dari segi teknikal, kita akan susun strategi ini untuk diperluaskan ke seluruh negara," tambahnya. - UTUSAN




No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...