08 March 2014

Malaysia, Vietnam lancar operasi cari pesawat

SEPANG - Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Airlines Ahmad Jauhari Yahya hari ini menafikan spekulasi bahawa penerbangan Malaysia Airlines ke Beijing yang hilang telah mendarat di Nanming, China.
   
Penerbangan MH370 itu terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Trafik Udara Subang pada 2.40 pagi hari ini, kira-kira dua jam selepas ia berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di sini, katanya dalam sidang akhbar.
   
Ahmad Jauhari berkata, pasukan mencari dan menyelamat Malaysia dan Vietnam telah mengaktifkan operasi mereka di Laut China Selatan di sepanjang sempadan ruang udara Malaysia dan Vietnam semasa hubungan dengan pesawat itu terputus.
   
"Mereka melancarkan operasi mencari dan menyelamat beberapa jam lalu. Dan mereka masih berusaha. Kita perlu menunggu keputusannya.
   
"Setakat ini, kami masih belum menerima sebarang pengesahan bahawa ada pesawat mendarat di Nanming, China. Kita terputus hubungan pada kira-kira 2.40 pagi, itu hubungan radar.
   
"Kedudukan terakhir yang dilaporkan ialah kira-kira 120 batu nautika di timur Kota Baharu, di Laut China Selatan. Tidak ada petanda isyarat kecemasan daripada pesawat," katanya. 

Ahmad Jauhari juga menjelaskan cuaca pada ketika insiden itu adalah baik.
   
"Tidak ada cuaca buruk ketika itu. Kami juga akan menubuhkan satu lagi pusat respons di Beijing, selain di KLIA," katanya.
   
Beliau berkata, pesawat itu membawa 227 penumpang, dua daripadanya bayi dan 12 kru.
   
"Fokus kami sekarang ialah bekerjasama dengan pasukan bantuan kecemasan dan pihak berkuasa dan menggerakkan sokongan penuh mereka. Fikiran dan doa kami adalah dengan semua penumpang yang terlibat dan kru dan anggota keluarga," katanya.
   
Orang ramai boleh menghubungi talian +603 7884 1234 manakala media boleh menyalurkan pertanyaan mereka melalui talian +603 877 5698/ +603 8787 1276, katanya.
- Bernama

1 comment:

  1. Salam...saya tlhpun linkkan blog ini di blog sya..Mohon jasabaik tuan utk linkkan blog saya http://www.tekokopi.blogspot.com di blog ini..Sekian ribuan terima kasih.

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...