11 October 2011

KENAIKAN GAJI, ELAUN MP DI TARIK BALIK

Kerajaan semalam menarik balik cadangan untuk menaikkan gaji dan elaun 222 Ahli Parlimen daripada peruntukan Bajet 2012, Jumaat lalu, setelah mendapat bantahan daripada empat wakil rakyat pembangkang, menurut Berita Harian Online. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz, berkata penarikan itu membabitkan peruntukan sebanyak RM30 juta yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada pembentangan Bajet 2012, Jumaat lalu.

Beliau berkata, empat pemimpin pembangkang yang membantah kenaikan itu adalah Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Ahli Parlimen Gombak, Mohamed Azmin Ali; Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub. 

“Saya gagal buktikan kepada Perdana Menteri bahawa cadangan ini mendapat sokongan penuh daripada Ahli Parlimen sendiri,” katanya di lobi Parlimen, di sini.  

Jumaat lalu, Perdana Menteri ketika membentangkan Bajet 2012 di Dewan Rakyat mengumumkan bahawa kerajaan akan mengkaji semula elaun Ahli Parlimen sekiranya mendapat sokongan penuh wakil rakyat kerajaan, pembangkang dan Bebas.

Nazri berkata, cadangan menaikkan gaji dan elaun Ahli Parlimen adalah tepat pada masanya memandangkan gaji wakil rakyat di negara ini jauh lebih rendah jika dibanding dengan negara jiran lain.

Ahli Parlimen negara ini memperoleh RM6,500 sebulan dan paling rendah berbanding Singapura (RM33,589), Indonesia (RM18,111) dan Thailand (RM11,534).
Katanya, pembatalan kenaikan gaji itu membabitkan kajian berhubung peruntukan elaun pegawai penyelidik dan pembayaran kos sewa pejabat setiap wakil rakyat.

“Pembangkang ‘buka mulut’ (bantah) terlalu awal sebelum kita jelaskan kandungan pakej kajian berkenaan yang merangkumi pelbagai kemudahan yang diperlukan oleh seorang wakil rakyat.

“Sebenarnya kenaikan gaji Ahli Parlimen yang dicadangkan tidak begitu banyak, mungkin dalam lingkungan RM1,000. Tapi kita banyak fokuskan mengenai elaun sampingan lain seperti elaun pegawai penyelidik, bayaran pejabat serta gaji pemandu,” katanya.

Di PUTRAJAYA, Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) mencadangkan supaya peruntukan yang mahu digunakan untuk kenaikan gaji Ahli Parlimen disalurkan terus kepada pusat khidmat wakil rakyat bagi mengurangkan beban mereka melaksanakan tanggungjawab di kawasan masing-masing.

Naib Presiden Majlis Penyokong BN, Datuk Abdul Rahman Dahlan, berkata peruntukan tambahan itu berupaya membantu Ahli Parlimen melaksanakan tugas dengan lebih berkesan khususnya membantu rakyat yang memerlukan bantuan.

Abdul Rahman yang juga Ahli Parlimen Kota Belud, berkata ramai Ahli Parlimen hanya bergantung kepada elaun untuk melaksanakan tanggungjawab di kawasan masing-masing dan ada yang menggunakan gaji sendiri.

“Pembangkang tak setuju kerana kepentingan politik,” katanya.

Kali terakhir gaji dan elaun Ahli Parlimen dikaji semula ialah pada 2005 yang menyaksikan gaji pokok RM6,508.59 berbanding RM5,916.90 pada 2002.

Selain itu, Ahli Parlimen juga diperuntukkan elaun pemandu RM1,200 sebulan. 

TU: Kecewa juga bila Gaji MP dinaikan, tetapi ada segelintir MP yang berkerja sambil lewa, Sedarlah anda dipilih oleh rakyat, jadi jangan Over anda adalah MP.



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...