KUALA LUMPUR 5 Jan. - Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) mendesak pihak berkuasa mengambil tindakan tegas ke atas seorang pemuda dipercayai menetap di Sabah, Raynold Thomas kerana menghina Nabi Muhammad SAW.
Setiausaha Agungnya, Syed Hassan Syed Ali berkata, kenyataan Raynold menerusi Facebook menghina Nabi Muhammad adalah perbuatan melampau yang tidak boleh dibiarkan, selain sengaja mencabar kesabaran umat Islam.
Katanya, tindakan tersebut bukan sahaja biadab malah sengaja mencurah minyak ketika umat Islam di negara ini sedang bersabar dengan Paderi Lawrence Andrew, yang menggesa gereja Katolik di Selangor terus menggunakan kalimah Allah dalam perhimpunan mingguan berbahasa Melayu.
"Perkasa mendesak polis segera siasat dan ambil tindakan undang-undang ke atas pemuda ini. Kemarahan orang Melayu dan Islam belum reda terhadap Andrew tetapi sekarang muncul pula pemuda yang secara terbuka menghina Rasulullah.
"Inilah masalahnya jika kerajaan tidak berani bertegas dan memberi toleransi keterlaluan dalam isu sensitif. Semakin banyak pihak yang berani menghina Islam dan Nabi Muhammad secara terbuka," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Dalam pada itu, hasil semakan Utusan Malaysia terhadap akaun Facebook milik Raynold mendapati, pemuda itu bekerja sebagai perunding perniagaan di sebuah syarikat di Kota Kinabalu dan merupakan bekas lepasan Universiti Utara Malaysia (UUM).
Dalam pada itu Syed Hassan menambah, sudah tiba masanya raja-raja Melayu tampil secara tegas untuk melindungi kesucian agama Islam sebelum keharmonian yang dikecapi sejak sekian lama musnah apabila umat Islam di Malaysia tidak mampu lagi bersabar.
"Tiada siapa lagi dalam negara ini yang umat Islam harapkan untuk menjadi payung bagi melindungi kesucian agama Islam kecuali raja-raja Melayu," katanya.
Utusan Malaysia
No comments:
Post a Comment