05 February 2014

Pemuda Pas tolak Anwar jadi MB Selangor



Meskipun Pemuda Pas bersama pakatan pembangkang dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang, namun mereka kekal tidak bersetuju dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Menteri Besar Selangor.

Ketua Pemuda Pas, Suhaizan Kaiat berkata, ini kerana polemik Kajang itu tidak perlu mengheret pakatan pembangkang bagi membincangkan perebutan kerusi 'panas' di Selangor.

"Pemuda Pas mendesak agar isu Menteri Besar Selangor yang baharu dihentikan segera kerana rakyat Malaysia sudah muak dengan polemik politik yang tidak berkesudahan," katanya dalam sidang akhbar di Pejabat Agung Pas, di sini hari ini.

Sebelum ini, Pemuda Pas 'kurang berpuas hati' dengan tindakan Lee Chin Cheh daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang mengosongkan kerusi DUN Kajang tanpa sebarang alasan.

Mengulas lanjut, Suhaizan berkata, pihaknya melahirkan rasa kesal terhadap tindakan mengosongkan kerusi DUN Kajang secara tergesa-gesa yang membazir masa dan wang rakyat.

Tambahnya, perkara itu akan mendedahkan pakatan pembangkang kepada risiko kemerosotan daripada sokongan rakyat.

"Kita hormati muafakat antara kami dan memberi hak mengurus DUN kepada parti yang menang dalam pilihan raya lepas.

"Justeru, Pemuda Pas mendesak agar mana-mana komponen pakatan pembangkang tidak mengulangi kesilapan serupa pada masa akan datang," ujarnya.

Dalam pada itu, Suhaizan berkata, Pemuda Pas menggesa pihak yang terlibat dalam PRK kali ini tidak melakukan pembaziran.

"Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri Selangor perlu mengelakkan projek-projek 'mi segera' yang akan mengorbankan wang rakyat.

"Rakyat sudah terkesan dengan kenaikan harga barang sekali gus akan menghukum mana-mana pihak yang dilihat membazir," ujarnya.


UTUSAN MALAYSIA


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...