21 May 2012

DAP Hantar Rombongan Pujuk Hadi Awang Bertanding PRU 13



SHAH ALAM: Kedua-dua rakan PAS dalam Pakatan Rakyat mendesak Datuk Seri Hadi Awang untuk menimbang semula keputusannya tidak bertanding pada pilihan raya umum ke-13.

Timbalan Pengerusi DAP Kebangsaan Tan Seng Giaw mencadangkan pakatan pembangkang mengirim sebuah rombongan untuk mendapatkan penjelasan daripada Hadi.

"Kita (PR) belum tahu lagi sebab apa dia (Hadi) buat keputusan demikian, kita berharaplah dia akan bertanding," ujarnya.

Hadi membuat keputusan muktamad untuk tidak bertanding pada pilihan raya umum ke-13 dan sedang memberi fokus untuk mencari calon gantian.

"Jika mereka tidak suka calon yang saya cadangkan, saya akan pergi cari. Secara peribadi, saya mengendalikan tugas ini dan ini akan berterusan sehingga mereka bersetuju untuk melepaskan saya," beliau dilaporkan berkata.

Hadi adalah ADUN Rhu Rendang dan Ahli Parlimen Marang.

Beliau menegaskan keputusan untuk berundur sebagai wakil rakyat adalah muktamad kerana beliau mahu memberikan tumpuan penuh kepada memimpin parti.

Ahli Parlimen Kuala Langat Abdullah Sani Abd Hamid daripada Parti Keadilan Rakyat berhadap Dewan Ulama PAS boleh menyakinkan Hadi supaya menarik balik keputusannya itu.

"Kita masih memerlukan sokongan dan penyertaan Datuk Seri Hadi Awang. Saya teramat sedihlah kalau dengar berita sebegini. Tapi saya percaya majlis dewan ulama PAS akan membuat satu kenyataan yang lebih menjurus kepada rakyat memerlukan Hadi Awang untuk menyertai PRU kali ini," kata beliau. - antarapos.com

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...