31 May 2012

UMUR BERSARA KAKITANGAN KEMAS 60 TAHUN


Kerajaan pada dasarnya bersetuju dengan saranan Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) supaya umur persaraan wajib kakitangan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) dilanjutkan kepada 60 tahun berbanding 58 tahun pada masa ini.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, perkara itu telah dikemukakan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk tindakan lanjut.

"Pihak kementerian sudah mengemukakan rayuan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam dan kita tunggu apa yang diputuskan untuk mereka meneruskan perkhidmatan lanjutan," katanya.

Mohd. Shafie berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis program mesra rakyat bersama beliau di Dewan Masyarakat Kota Marudu, di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Maximus Ongkili; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Matunggong, Sarapin Magana; ADUN Tandek, Anita Baranting dan ADUN Pantai Manis, Datuk Abdul Rahim Ismail.

Semalam, CUEPACS menuntut kerajaan mencari penyelesaian segera berhubung tiga perkara yang membelenggu hampir 16,000 kakitangan Kemas di seluruh negara.

Presidennya, Datuk Omar Osman dilaporkan berkata, perkara itu antaranya ialah melanjutkan umur persaraan wajib mereka yang pada masa ini 58 kepada 60 tahun selaras dengan pelaksanaan Skim Saraan Malaysia (SSM) yang baru.

Mohd. Shafie berkata, langkah itu amat wajar memandangkan pekerja berkenaan masih mampu memberikan sumbangan yang signifikan kepada kerajaan.

"Kita tahu mereka ini mempunyai keupayaan dan sudah kita latih sebelum ini dan sudah pasti ia akan memberi penambahan dari segi keupayaan kita kelak," katanya.

UTUSAN ONLINE

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...