09 October 2013

BERITA BAIK,KERAJAAN SEDIA RM15,000 DAN RM20,000 BANTU RAKYAT BELI RUMAH MAMPU MILIK


Datuk Seri Ahmad Husni Hanazlah.

Berita baik, kerajaan kini  akan menyediakan subsidi antara RM15,000 dan RM20,000 bagi membolehkan rakyat membeli rumah mampu milik. Berita gembira disuarakan  Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.

Beliau berkata, Syarikat Perumahan Negara Bhd (SPNB) akan membina tiga jenis rumah mampu milik dengan tiga bilik tidur berharga RM65,000, RM55,000 dan RM45,000.

"Bagi rumah berharga RM65,000, kerajaan akan memberikan subsidi RM20,000. Bagi kediaman berharga RM45,000, subsidi yang disediakan sebanyak RM15,000,"
katanya kepada pemberita ketika ditemui di luar acara Simposium Zakat Perniagaan Nasional 2013, di sini.
   
Beliau juga berkata, Belanjawan 2014 yang akan dibentangkan di Parlimen 25 Oktober ini merupakan bajet 'mesra rakyat' yang memberi tumpuan ke atas kediaman
mampu milik dan pembangunan infrastruktur.
   
Ahmad Husni menambah, kerajaan juga mahukan SPNB menjadi pemaju rumah mampu milik berskala besar untuk rakyat, membina banglo dengan harga jualan kira-kira
RM250,000, selain rumah berkembar dua dan rumah teres, masing-masing berharga RM100,000 dan RM80,000.
   
"Kerajaan juga akan menekankan pembangunan infrastruktur dalam bajet akan datang, terutama di kawasan yang kurang mendapat akses bekalan elektrik, air dan
jalan," katanya.
   
Dalam ucaptamanya, Ahmad Husni berkata, simposium itu menunjukkan inisiatif yang semakin meningkat dalam usaha menyelaraskan amalan perniagaan moden yang
berlandaskan prinsip Islam.

"Kerajaan membuat beberapa peruntukan untuk zakat individu, termasuk perakuan ke atas keseluruhan jumlah yang dibayar sebagai rebat cukai.
  
"Bagi zakat perniagaan, kerajaan mencadangkan zakat ke atas pendapatan perniagaan yang dibayar oleh syarikat, boleh ditolak cukai dalam pengiraan cukai
pendapatan korporat, tidak melebihi 2.5 peratus daripada pendapatan agregat," katanya.
   
Simposium sehari itu dianjurkan oleh Institut Akauntan Malaysia dan Universiti Tenaga Nasional. Ia bermatlamat meningkatkan standard piawaian
perakaunan dan amalan pelaporan untuk semua pemegang kepentingan dalam ekosistem zakat. 


- Bernama-

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...