20 October 2013

Zahid, Shafie, Hishammuddin Kekal Status Quo Naib Presiden Umno


KUALA LUMPUR: Tiga penyandang kerusi Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Shafie Apdal dan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berjaya mengekalkan kedudukan masing-masing pada pemilihan parti itu yang berlangsung pada Sabtu.
Keputusan itu menunjukkan kira-kira 146,000 perwakilan Umno di seluruh negara mahu mengekalkan status quo jawatan tertinggi parti itu dengan memilih semula tiga penyandang kerusi Naib Presiden.
Keputusan rasmi yang diumumkan kita-kira pukul 1.40 pagi Ahad menyaksikan Ahmad Zahid sekali lagi mengekalkan pengaruhnya di kalangan ahli Umno apabila mendahului dua lagi pemimpin lain dengan 185 undi.
Pada pemilihan kali ini, Shafie terbukti berjaya memperbaiki pengaruhnya apabila mendapat 174 undi berbanding Hishammuddin yang memperoleh 100 undi.
Dalam pemilihan Umno 2009, Ahmad Zahid memperoleh undi paling tinggi sebanyak 1,592 diikuti Hishammuddin yang mendapat 1,515 undi dan diikuti Shafie dengan 1,445 undi.
Kemenangan tiga penyandang itu sekaligus menggagalkan cubaan kali pertama calon popular bagi jawatan berkenaan, Datuk Mukhriz Mahathir untuk menempatkan diri dalam salah satu daripada tiga kerusi Naib Presiden.
Mukhriz diumumkan memperoleh 91 undi daripada 191 bahagian di seluruh negara iaitu beza hanya sembilan undi dibelakang Hishammuddin.
Sementara itu dua lagi calon Naib Presiden, Tan Sri Isa Samad dan Datuk Seri Mohd Ali Rustam masing-masing memperoleh tujuh undi.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...