22 December 2013

Awas, Tindakan Mahkamah Terhadap Penyumbang Kes Denggi


KUALA LUMPUR: Tindakan undang-undang akan diambil terhadap mereka yang didapati menyumbang kepada peningkatan kes denggi.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata, beliau akan meminta kementerian untuk bertindak tegas dari segi penguatkuasaan bagi membendung gejala itu.
"Kita tidak akan teragak-agak untuk membawa mereka yang melanggar undang-undang ke mahkamah," katanya selepas menghadiri majlis perasmian mesyuarat agung tahunan MCA ke-60 di Wisma MCA pada Sabtu.
Dilaporkan bahawa setakat 14 Disember, kes denggi meningkat mendadak 87.5 % dengan 39,222 kes yang direkodkan pada tahun ini berbanding dengan 20,923 tahun lalu menyaksikan peningkatan 18,299 kes.
Bilangan kematian meningkat sebanyak 137% kepada 83 kematian dalam tempoh yang sama.
Dr Subramaniam berkata, mesyuarat antara pihak berkuasa tempatan dan agensi-agensi kesihatan yang berkaitan di peringkat persekutuan dan negeri akan diadakan bagi membincangkan langkah-langkah untuk mengurangkan kes denggi.
Kementerian itu, katanya, juga akan memberi tumpuan kepada mendidikan pengamal kesihatan supaya pesakit denggi merujuk ke hospital lebih awal.
"Hospital yang mempunyai ramai pesakit denggi seperti di Serdang dan Kajang perlu membuat rundingan dengan hospital berdekatan," katanya.
Dr Subramaniam berkata, virus denggi menjadi lebih agresif, mungkin disebabkan oleh perubahan iklim.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...