PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan menangguhkan ke satu tarikh lain keputusan rayuan kerajaan terhadap kebenaran yang diberi kepada Gereja Roman Katolik menggunakan kalimah Allah dalam penerbitan majalah mingguan Herald - The Catholic Weekly.
Panel Ketua Hakim diketuai Datuk Seri Mohamed Apandi Ali membayangkan keputusan rayuan itu akan diumumkan Oktober ini.
Pada 31 Disember 2009, Mahkamah Tinggi mengisytiharkan keputusan Kementerian Dalam Negeri (KDN) melarang penerbitan The Herald daripada menggunakan kalimah 'Allah' adalah salah, batal dan tidak sah.
Kerajaan mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi itu.
Pada 8 Julai, Gereja katolik itu, kemudiannya memfailkan permohonan untuk membatalkan rayuan kerajaan.
Gereja Katolik diketuai Biskop Murphy Pakiam memfailkan permohonan semakan kehakiman pada 16 Februari 2010 dengan menamakan KDN dan kerajaan sebagai responden.
Antara lain mereka memohon deklarasi bahawa keputusan KDN melarang penggunaan kalimah 'Allah' dalam The Herald adalah tidak sah.
Kontroversi tercetus apabila akhbar mingguan yang diterbitkan dalam empat bahasa itu, menggunakan kalimah 'Allah' sebagai merujuk kepada 'God' dalam The Herald terbitan bahasa Melayu terutamanya bagi memenuhi keperluan masyarakat di Sabah dan Sarawak.
No comments:
Post a Comment