05 September 2013

Pendekatan atau Inisiatif mengurangkan bebanan golongan kelas pertengahan dalam Bajet 2014

Kerajaan akan mengumumkan beberapa pendekatan atau inisiatif bagi mengurangkan bebanan golongan kelas pertengahan dalam Bajet 2014 yang akan dibentangkan bulan depan.

Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr. Mohd. Irwan Serigar Abdullah berkata, langkah itu diambil berikutan golongan kelas pertengahan sehingga kini masih belum menerima apa-apa manfaat daripada pelbagai dasar kerajaan, berbanding kelas bawahan.

Beliau berkata, kelas bawahan misalnya akan menerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang lebih tinggi pada tahun ini, yang jumlahnya akan diumumkan dalam Bajet 2014 itu nanti.

"Kerajaan mahu menyasarkan bantuan kepada golongan yang tepat (bawahan dan pertengahan), berbanding golongan yang tidak layak menerimanya seperti orang kaya dan warga asing (yang menerima subsidi minyak),'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis 1Malaysia Enterpreneurs (1Met) Bootcamp 2013 di sini hari ini.

1Met Bootcamp 2013 akan dijalankan sebanyak 21 siri di seluruh negara bagi menghimpunkan 5,000 usahawan muda.

Mohd. Irwan Serigar berkata demikian bagi menjelaskan dakwaan bahawa kelas pertengahan tidak menerima apa-apa manfaat di sebalik kenaikan harga minyak.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan kerajaan mengambil keputusan mengurangkan subsidi petrol yang seterusnya menyebabkan kenaikan harga minyak petrol RON 95 dan diesel sebanyak 20 sen berkuat kuasa hari ini.

Beliau berkata, langkah mengurangkan subsidi itu perlu dibuat kerajaan bagi memastikan kedudukan ekonomi negara tetap kukuh dalam keadaan ekonomi dunia tidak menentu.

Ditanya mengenai pelaksanaan sistem cukai barangan dan perkhidmatan (GST), Mohd. Irwan Serigar berkata, pelaksanaan sistem itu akan dibuat selepas setahun pengumumannya.
Katanya, GST akan melibatkan setiap individu di negara ini.

"Beberapa barangan keperluan dan kegunaan harian mungkin tidak dikenakan cukai GST bagi membantu mengurangkan bebanan rakyat,'' ujarnya.




No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...