DAP Tidak Akan Buat Pemilihan Semula Selagi ROS Tidak Beri Penjelasan - Guan Eng
GEORGE TOWN: DAP tidak akan mengadakan pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) selagi Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) tidak menjawab tuntutan parti itu yang mahukan penjelasan mengenai sebab-sebab parti perlu berbuat demikian.
Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata DAP tidak akan mematuhi arahan ROS tanpa sebarang alasan munasabah.
"ROS ini ingat dia Raja kah? Tak payah beri sebab langsung dan membuat pengumuman dahulu sebelum menjawab surat," katanya kepada pemberita di sini, Isnin.
Lim berkata DAP akan hanya menerima arahan itu jika ROS memberi alasan mengapa ia tidak berpuas hati dengan penjelasan parti berhubung perjalanan CEC pada 15 Disember lepas.
Semalam Pendaftar ROS Datuk Abdul Rahman Othman dalam satu kenyataan berkata DAP seharusnya mengutamakan pelaksanaan keputusan yang dibuat oleh ROS kerana itu keputusan terbaik dan mencerminkan permintaan akar umbi DAP.
Lim yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang mendakwa tindakan ROS mengarahkan DAP membuat pemilihan semula CEC adalah berunsur penganiayaan dan dendam politik. "DAP juga (akan terima arahan) jika ROS jelaskan di bawah peruntukan undang-undang mana arahan pemilihan semula CEC diberikan," katanya.
Beliau berkata walaupun DAP mengakui terdapat kesilapan tetapi pemilihan CEC pada Disember lepas adalah bersih.
Katanya beliau juga akan memfailkan saman fitnah terhadap beberapa organisasi media tempatan yang dikatakan telah mengeluarkan laporan palsu terhadap DAP.
Pada 30 Julai lepas, ROS mengarahkan DAP mengadakan pemilihan semula CEC dan memaklumkan ia tidak berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan oleh parti itu berhubung isu penyelewengan undi pada pemilihan CEC dan isu manipulasi undi membabitkan 547 perwakilan.
Sumber: http://mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2013/8/5/mstar_berita/20130805163652&sec=mstar_berita
Sumber: http://mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2013/8/5/mstar_berita/20130805163652&sec=mstar_berita
No comments:
Post a Comment