Kuala Lumpur: Datuk Seri Najib Razak menasihati umat Islam yang ingin pulang ke kampung halaman supaya berhati-hati dan tidak menjadikan jalan raya sebagai pusara tidak bernama sempena Aidilfiltri ini.
Perdana Menteri berkata, pengguna jalan raya perlu lebih berhemah ketika memandu serta mematuhi segala peraturan ditetapkan supaya sampai ke destinasi dengan selamat serta dapat menyambut hari raya bersama keluarga.
Najib sedih
Najib berkata, beliau sedih dengan jumlah kemalangan yang berlaku pada musim perayaan terutama mengakibatkan kematian dan kerajaan sentiasa berusaha meningkat tahap keselamatan pengguna di jalan raya.
Saya sedih dengan kemalangan yang berlaku terutama mengakibatkan kehilangan nyawa, kerajaan melalui kementerian serta agensi berkaitan berusaha secara berterusan bagi mengurangkan kadar kemalangan.
Ia bermula daripada aspek pendidikan hingga langkah pembetulan dan pencegahan, tetapi hakikatnya, sejauh mana langkah pembetulan dan pencegahan jika kita tidak mengamalkan pemanduan berhemah dan beretika.
Amalkan budaya pemanduan berhemah, elakkan jalan raya daripada menjadi pusara tidak bernama, katanya dalam satu tayangan video yang ditayangkan pada majlis Program Khas Mesej Daripada Perdana Menteri, di sini, semalam.
6,900 maut nahas 2012
Majlis berkenaan dirasmikan oleh Setiausaha Politik kepada Menteri Pertanian dan Industri Asas, Dr Zuraidi Ishak.
Turut hadir Pengerusi Yayasan Wangsa Perdana, Datuk Dr Mohd Shafie Abdullah dan Pengerusi Bank Rakyat, Tan Sri Sabbaruddin Chik.
Kelmarin, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, berkata tahun lalu lebih 6,900 kematian dicatatkan akibat kemalangan dan ia rekod tertinggi berbanding tahun sebelumnya iaitu 6,700 kematian.
Najib berkata, peningkatan jumlah kenderaan pada musim perayaan ini boleh mendorong kepada peningkatan jumlah kemalangan jalan raya jika pengguna tidak mengamalkan pemanduan berhemah.
Beliau berkata, sambutan Aidilfitri di negara ini tidak hanya disambut oleh umat Islam, malah bagi sebahagian penganut agama lain cuti perayaan ini turut digunakan mereka untuk meluangkan masa dan bercuti bersama keluarga.
No comments:
Post a Comment