Bangunan surau sebuah resort di Sedili, Kota Tinggi yang digunakan oleh bukan Islam untuk upacara ritual keagamaan mereka baru-baru ini, berkemungkinan besar akan dirobohkan sebaik sahaja siasatan mengenai kes itu selesai.
Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), Datuk Nooh Gadut berkata, keputusan mengenai nasib bangunan yang dipercayai dibina dengan kos lebih RM60,000 itu akan diputuskan oleh Jawatankuasa Fatwa negeri dalam tempoh sebulan.
Beliau berkata, surau berkenaan tidak boleh dirobohkan serta-merta kerana bangunan tersebut adalah 'barang kes' dan kini berada di bawah pengawasan pihak polis dan Pasukan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela).
"Setelah siasatan pihak polis selesai, MAINJ akan mengambil alih siasatan mengikut prosedur yang ditetapkan berdasarkan Seksyen 7A Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 1997 yang memperuntukkan hukuman penjara dua tahun atau denda RM3,000 atau kedua-duanya sekali.
"Kemungkinan besar surau tersebut akan dirobohkan selepas siasatan selesai dan kita jangka mengambil masa kira-kira sebulan untuk meneliti semua perkara sebelum membuat keputusan," katanya ketika ditemui pemberita di pejabatnya di Kompleks Pusat Islam Iskandar Johor, di sini hari ini.
Beliau terdahulu menghadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bersama Pengerusi MAINJ yang juga Pengerusi Jawatankuasa Agama negeri, Abd. Mutalip Abd. Rahim serta beberapa ahli yang lain di Istana Pasir Pelangi.
Sabtu lalu, penduduk sekitar perkampungan nelayan Sedili Besar gempar selepas bangunan yang didirikan di sebuah kawasan resort sebagai surau dicemari dengan upacara sembahyang penganut agama lain.
Upacara sembahyang yang dijalankan dipercayai oleh penganut agama Buddha itu disedari seorang pengunjung resort yang ingin menunaikan solat asar.
Menurut Nooh, Jawatankuasa Fatwa negeri akan bersidang minggu depan bagi membincangkan kes tersebut berdasarkan kenyataan serta bukti daripada semua pihak yang terlibat termasuk memutuskan kesudahan bangunan itu.
Katanya, hasil persidangan itu akan dibawa ke peringkat MAINJ sebelum disembahkan kepada sultan sebagai ketua agama negeri dan dalam masa sama akan dimaklumkan kepada kerajaan untuk tindakan.
"Tempat yang paling suci dan mulia di bumi ini adalah masjid dan surau. Sehubungan itu tidak dibenarkan diadakan aktiviti agama lain di masjid dan surau. Jika ada aktiviti agama lain di situ maka surau tersebut boleh dirobohkan berdasarkan surah At Taubah ayat 107," katanya.
No comments:
Post a Comment