08 September 2011

Mat Sabu Lari Daripada Tanggung Jawab


Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu disifatkan sebagai orang yang lari daripada tanggungjawab apabila beliau enggan berdebat dengan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berhubung isu tragedi serangan pengganas komunis ke atas Balai Polis Bukit Kepong.
Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Saifuddin Abdullah (gambar) berkata, sebagai individu yang menimbulkan isu tersebut, Mohamad atau Mat Sabu wajar menjadi pihak yang sepatutnya berdebat dengan Khairy dan bukan menyerahkan tugas itu kepada orang lain.
"Dia (Mat Sabu) yang timbulkan isu, tapi dia minta orang lain untuk menjawab bagi pihaknya. Saya anggap ini adalah merupakan usaha beliau untuk lari daripada tanggungjawab," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Semalam, Khairy mendedahkan bahawa kerajaan Pas Kelantan memaklumkan debat antara beliau dan Mat Sabu dibatalkan kerana Timbalan Presiden Pas itu enggan berbuat demikian.
Terdahulu, Kerajaan Pas Kelantan mengesahkan telah menghantar jemputan rasmi kepada Khairy dan Mohamad untuk berdebat berhubung isu tragedi serangan pengganas komunis ke atas Balai Polis Bukit Kepong.
Namun, ia ditolak oleh Mat Sabu yang kemudiannya bertindak mencabar Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk berdebat dengannya atas alasan Timbalan Presiden UMNO itu terlalu kerap mengkritiknya berbanding Khairy setelah isu tersebut didedahkan pada 26 Ogos lalu.
Saifuddin dalam pada itu berkata, keengganan Mat Sabu untuk berdebat dengan Khairy juga boleh ditafsirkan sebagai Timbalan Presiden Pas itu tidak menghormati jemputan kerajaan negerinya sendiri.
Ujarnya, ini kerana Khairy telah pun menerima jemputan kerajaan Pas Kelantan untuk berdebat namun Mat Sabu menolak jemputan berkenaan.
"Pada masa sama, kita juga boleh menganggap kerajaan negeri Kelantan tidak menghormati Timbalan Presiden Pas itu kerana meletakkan Mat Sabu untuk berdebat dengan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO," katanya.

sumber asal: Utusan Malaysia Online

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...