08 September 2011

Tiada Maaf Bagimu Mat Sabu - Azlas, Minah



Azlas Jaafar (kanan) dan Minah Mohammad menunjukkan gambar arwah bapanya, Konstabel Jaafar Hassan yang terkorban dalam tragedi Bukit Kepong di Kuala Terengganu, semalam. - Gambar Harith Fadzillah


Anak kepada Allahyarham Konstabel Jaafar Hassan yang terbunuh dalam Tragedi Bukit Kepong mempersoalkan mengapa sampai begitu sekali Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu tergamak membela pengganas komunis.


Azlas Jaafar, 62, menegaskan, dia tidak akan memaafkan Mat Sabu yang mengeluarkan kenyataan menghina dan mengguris keluarga anggota keselamatan yang terbunuh semasa menentang komunis dan menganggap kematian mereka seolah-olah tidak bernilai sama sekali.


Beliau menyatakannya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Perpindahan, Cendering dekat Kuala Terengganu selepas dikunjungi Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said semalam.


Pada kunjungan itu, Menteri Besar turut menyampaikan sumbangan kepada Azlas dan keluarga selain melahirkan rasa simpati terhadap kejadian yang menimpa keluarga itu akibat kekejaman komunis.


Ahmad Said turut memberi jaminan bahawa pihaknya akan berusaha untuk mencari satu kawasan sesuai bagi didirikan kediaman baru Azlas memandangkan selama ini dia hanya menumpang rumah milik saudaranya di kampung berkenaan.


“Saya sangat sedih dan tidak sangka sama sekali dia (Mat Sabu) sanggup berkata demikian (mengangkat komunis sebagai hero). Saya tak akan maafkan dia. Jangan datang jumpa kami di sini, kami tak mahu dan saya benci dia.


“Dia sepatutnya dikenakan hukuman. Sebenarnya dialah penderhaka dan pengkhianat negara,” katanya.


Turut hadir ialah ibu saudaranya yang juga kakak kepada Allahyarham Jaafar, Minah Mohamad, 85.


Azlas berkata, dia sangat kesal dengan kenyataan keterlaluan yang dikeluarkan Mat Sabu itu tanpa mengambil kira perasaan orang lain khususnya keluarga anggota keselamatan.


Menurutnya, walaupun bapanya terkorban akibat ditembak komunis dalam peristiwa itu semasa usianya baru setahun, apa yang menimpa bapanya itu telah diceritakan arwah ibunya, Seri Ahmad sebelum meninggal dunia pada 1993.


“Memang ketika kejadian saya baru berumur setahun tapi setelah diberitahu ibu saya, arwah bapa adalah seorang pejuang yang mempertahankan negara daripada komunis.


“Biarpun arwah bapa hanya ditembak, tapi ada anggota polis lain yang dibunuh kejam, dibakar dan anggota badan dikerat-kerat. Komunis memang pengkhianat, sangat zalim dan mereka bukannya hero,” katanya.


Azlas berkata, dia hanya mempunyai seorang adik lelaki tetapi meninggal dunia semasa bayi dan dia bersama ibu serta bapanya tinggal di Muar, Johor, negeri kelahiran keluarga sebelah ibunya.


Menurutnya, setelah kematian ibu bapanya, dia dijemput anggota sebelah bapanya di Terengganu dan menetap di Chendering dekat sini kira-kiran 30 tahun lalu.

http://teganuku.blogspot.com/
Sumber: 

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...