08 September 2011

‘Sokong komunis dianggap pengganas’

PONTIAN: Mana-mana individu termasuk guru agama yang terbabit atau menyokong dalam perjuangan komunis di negara ini termasuk ketika darurat dilabel oleh masyarakat dari dulu hingga kini sebagai pengganas, kata penyelidik Ahmad Indera atau Mat Indera dalam buku Pengukir Nama Johor, Sahgidon Dirham. 

Beliau yang membuat kajian berdasarkan penceritaan seorang anak watan negeri ini menerusi tajuk Bajuri Haji Siraj dalam buku sama yang diterbitkan pada 2004, berkata masyarakat dari dulu melihat komunis golongan yang terbabit dengan keburukan dan kejahatan.

Walaupun hanya menghasilkan penulisan berdasarkan penceritaan Bajuri, anggota Home Guard yang bertanggungjawab menangkap Mat Indera, Sahgidon berkata, komunis tidak pernah mendapat tempat dalam hati masyarakat berikutan perjuangan mereka yang menggunakan senjata serta kekerasan.
“Jika sebut komunis, memang difahami semua orang, mereka adalah golongan yang buruk dan jahat,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, semalam. 

Sahgidon mengulas mengenai laporan akhbar ini semalam mengenai Mat Indera yang tidak pernah diiktiraf sebagai pejuang kemerdekaan negara oleh Yayasan Warisan Johor (YWJ), walaupun namanya disenaraikan menerusi buku Pengukir Nama Johor. 

Sebaliknya, dua penulisan berkaitan Mat Indera diterbitkan dalam buku itu hasil penyelidikan dua penulis berbeza termasuk karya Sahgidon, memerlukan tafsiran dan penilaian masyarakat, khususnya golongan sejarawan, sama ada lelaki itu seorang pengganas komunis atau pejuang. 

Selain artikel hasil penyelidikan Allahyarham Ismail Adnan, penulisan mengenai Mat Indera berdasarkan kajian Sahgidon mendedahkan Mat Indera adalah pemimpin komunis Melayu yang sanggup melakukan keganasan dan kekejaman terhadap bangsa sendiri. 
Sahgidon berkata, pengkaji sejarah kebanyakannya masih samar mengenai kegiatan komunis, menyebabkan banyak peristiwa yang berlaku masih sedang dikaji mereka yang terbabit. 

“Bagi saya, individu seperti Mat Indera, Shamsiah Fakeh, Rashid Mydin dan Abdullah CD pada awalnya mungkin mempunyai prinsip perjuangan menentang penjajah, tetapi pada masa sama terdesak hingga melarikan diri kerana bimbang ditahan pihak berkuasa,” katanya.


Sumber: Berita Harian Online

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...