BUKIT MERTAJAM 10 Sept. - Selepas mendakwa komunis sebagai hero dan menuduh filem Bukit Kepong sebagai satu pembohongan sejarah, Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu kini mempersoal pula penayangan filem Sarjan Hassan. Ini kerana menurut Mohamad, setiap kali tiba sambutan Hari Pahlawan, stesen televisyen akan berlumba-lumba menayangkan filem itu yang dibintangi oleh Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dan Tan Sri Jins Shamsudin. Beliau mendakwa, biarpun watak Sarjan Hassan yang dilakonkan oleh P. Ramlee merupakan seorang yang baik dan setia, namun dia berkhidmat untuk ketuanya iaitu orang Inggeris dan melawan Buang yang menjadi ejen Jepun.
"Saya suka filem ini tapi tak perlulah tayang pada Hari Pahlawan saja. Tayanglah pada hari lain sebab Hassan yang baik adalah ejen British, manakala Buang yang jahat dilakonkan oleh Salleh Kamel adalah ejen Jepun, jadi dua-dua wakili penjajah."Kenapa tak buat filem yang menceritakan tentang pejuang kemerdekaan tanah air yang sebenar dan adakah penapis filem kita tak izinkan cerita-cerita macam itu," katanya ketika berucap di Juru, dekat sini, malam tadi.
Dalam pada itu, Mohamad terus mempertahankan dakwaannya bahawa Mat Indera yang menyerang Balai Polis Bukit Kepong adalah hero sebenar dan bukannya 25 anggota polis dan keluarga mereka yang mempertahankan diri dalam serangan di balai polis itu. Jelasnya, jika Allahyarham Dato' Onn Jaafar dan Tunku Abdul Rahman dianggap sebagai pejuang kemerdekaan, nama-nama seperti Ishak Muhammad (Pak Sako), Dr. Burhanuddin Helmi, Ahmad Boestamam, Ibrahim Yaacob dan beberapa orang lagi nasionalis Melayu tidak harus dilupakan. "Selain itu, sekiranya Rashid Maidin dan Abdullah CD adalah penggerak komunis dan pemberontak, kenapa ada pihak di kalangan UMNO sendiri yang sudi membantu mereka?" katanya. Justeru katanya, sejarah memang perlu diubah dan banyak yang perlu diceritakan kepada generasi muda agar mereka memahami apa yang tersirat di sebalik sejarah negara.
Artikel dipetik dari: Utusan Malaysia Online
No comments:
Post a Comment